ZCOVA On Harian Metro: Gaya Moden Berciri Klasik
ZCOVA
Featured News
Friday, 22nd March 2019

Himpunan barang kemas mewah kaya motif ketimuran, unsur alam.

Berhasrat memodenkan cara pembelian barangan kemas di kedai kepada dalam talian, jenama ZCOVA berkolaborasi dengan pereka fesyen terkenal Khoon Hooi melancarkan himpunan barangan kemas mewah malar segar khusus untuk wanita.

Hadir bersama koleksi lengkap anting-anting, gelang, cincin, rantai dan loket semuanya menggabungkan latar tradisional ketimuran dengan rencah kontemporari bagi memberikan gaya moden buat si pemakai. 

Untuk koleksi sulung ini, Khoon Hooi mengetengahkan elemen tradisi dengan tarikan alam semula jadi yang membawa pelbagai maksud.

Setiap elemen mewakili nilai positif yang sesuai digayakan dalam semua acara termasuk tahun baru, keraian seperti perkahwinan, hari jadi dan semua perayaan yang menghadirkan rasa ceria, kegembiraan, cinta dan kesenorokan dalam kehidupan. 

Pereka ini mengambil inspirasi daripada buluh yang lasak dan ditampilkan penuh berseni untuk rekaan anting-anting dan gelang. Selain itu flora dan fauna dengan motif bunga plum turut diambil bagi mengetengahkan unsur alam.

"Bunga plum lazimnya mekar dan subur walaupun dalam cuaca dingin dan bersalji. Oleh itu, motif ini sesuai dizahirkan untuk rekaan anting-anting, cincin dan gelang yang memberikan keyakinan kepada si pemakai," katanya. Selain itu rekaan berasaskan bunga peony yang melambangkan kasih sayang dan ciri penuh kemakmuran menjadi rencah dalam lakaran pereka. 

Kelopak peony ini dihidupkan dalam bentuk hiasan cincin dan anting-anting. Ia turut dilihat sebagai lambang tuah dan perkahwinan bahagia, yang menjadikannya hadiah sesuai untuk pasangan anda. Elemen ini juga sebagai penghormatan keada simbol oriental yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain. 

Gabungan antara nilai estetika dalam rekaan Zcova dan Khoon Hooi memperlihatkan gaya moden namun bercirikan klasik.

Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Zcova, Low Ziyin, sebagai jenama Malaysia, Zcova teruja berkongsi kepakaran dalam menghasilkan rekaan barangan kemas bagi mengembangkan lagi komuniti seni dan rekaan tempatan. 

"Kami tertarik dengan kehalusan dan ketelitian Khoon Hooi menghasilkan rekaannya. Malah ia menepati kemas yang bertahan seiring masa dengan inspirasi tradisional ketimuran dan kontemporari," katanya. 

Bagi Khoon Hooi pula dia tidak mampu melepaskan peluang ini kerana rekaan barangan kemas adalah sesuatu yang berbeza dan tidak pernah dihasilkan sebelum ini. 

"Saya mengalu-alukan kolaborasi ini sebagai sinergi antara dua jenama yang berpotensi menzahirkan kreativiti serta rekaan terbaik. Menerusi bimbingan, Zcova mendorong saya mencipta rekaan yang dekat dengan akar umbi sebagai rakyat Malaysia," komen Khoon Hooi. 

Menyifatkan semua barangan kemas menzahirkan simbol tuah untuk si pemakai, ia juga sebagai manifesto ikatan cinta buat yang teristimewa. Meskipun koleksi ini kaya motif ketimuran, setiap satunya versatil dan sesuai digayakan sepanjang zaman.